Thursday, March 3, 2011

Filem: Antara Pro & Kontra

Apabila berbicara tentang filem atau drama mungkin ada sebahagian orang yang memandang serong terutamanya aktivis-aktivis yang mempunyai semangat Islam. Bagi mereka, apa-apa yang datangnya dari filem/drama semuanya negatif dan merosakkan. Ditambah pula dengan lambakkan filem/drama yang bertemakan cinta, seram dan komedi, dan juga serba-serbi rancangan yang haru-biru, maka tidak hairan adaikata ada yang mengambil keputusan untuk mengharamkan langsung TV. Sedangkan, di pihak yang lain, ada pula segolongan orang yang terlalu mengambil mudah dan ringan. Bagi mereka, apa sahaja yang ditayangkan boleh untuk ditonton atas alasan sebagai hiburan dan untuk merehatkan penat lelah.

Walau apa pun alasan dan hujah yang diberikan, saya bersikap pertengahan. Neutral. Bagi saya, filem/drama boleh jadi negatif dan juga boleh jadi positif. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya. Terpulang. Itu hak anda dan anda berhak untuk tidak bersetuju dengan pendapat saya. Masing-masing ada hujah tersendiri dan saya tidak berhak memaksa anda untuk menerima pendapat saya, begitu juga sebaliknya.

Di sini, saya tidak ingin berbahas panjang mengenai hukum menonton filem/drama (tentunya di rumah, bukan di panggung wayang!) dan perkara yang berkaitan dengannya. Anda boleh meneliti pendapat para Ulama’, Sheikh dan para Ustaz yang terpecaya. Silakan saja. Fokus saya sebenarnya adalah untuk membawa pembaca menilai dahulu sebelum menjatuhkan halal atau haram atau baik dan buruknya filem/drama itu.

Persepsi: Filem barat negatif, filem timur positif

Saya bukannya “kaki wayang” dan saya kurang mengetahui & mengikuti perkembangan dunia filem/drama semasa. Saya cuma baca menerusi akhbar atau menonton apa yang ditayangkan di TV sahaja. Umumya, orang mengetahui atau melabel filem/drama dari barat semuanya negatif. Penuh dengan propaganda, aksi-aksi yang tidak sepatutnya, serta 1001 lagi keburukkan. Manakala, filem/drama dari timur pula, orang ramai umumnya beranggapan baik. Ada unsur dan adab tatasusila “ketimuran”.

Namun, pada hemat saya (yang terhad), kedua-duanya ada baik dan buruknya. Tidak semua filem/drama dari barat negatif dan tidak semua filem/drama dari timur positif. Filem/drama berunsur dokumentari, perang dan sejarah yang dihasilkan dari barat banyak yang berkualiti dan bagus (walaupun dari segi ketepatan fakta mereka masih boleh dipertikaikan). Begitu juga dengan filem/drama yang berunsur kekeluargaan dan sebagainya. Bahkan terkadang lebih bagus dari filem/drama dari timur. Manakala, filem/drama dari timur tidak semuanya yang “bersih”, terkadang ada juga lebih “barat” dari “barat”.

Sama ada dari barat atau timur, saya tidak menolak kedua-duanya secara total. Pada saya, baik atau buruknya sesuatu filem/drama itu, bergantung kepada isi/mesej ataupun “content” nya. Sudah tentu ia perlu mengikut neraca syariat terlebih dahulu! Walaubagaimanapun, kita tidak dapat membuat banyak pilihan. Isu-isu seperti tidak menutup aurat bagi wanita (rambut), bersentuhan antara lelaki dan wanita (contoh watak ibu & anak, berpegang tangan suami & isteri dalam filem/drama), ikhtilat dan isu-isu lain yang berbangkit harus ditanggani dengan bijak. Kebanyakkan filem/drama isu-isu seperti inilah yang menghantui sebahagian daripada kita untuk memilih “mengharamkannya” walaupun mesej yang diketengahkan dalam filem itu cukup bagus (filem/drama berunsur dokumentari, pendidikan, kekeluargaan dsbg).

Saya punya pendirian adalah selagi mana tidak ada unsur yang jelas bertentangan/diharamkan syariat (eg; Lucah dsbg), maka bagi saya, ianya jatuh dalam ketegori “mubah” atau diperbolehkan. Mungkin akan ada yang bertanya bagaimana pula dengan filem/drama yang tidak menutup aurat (rambut bagi wanita, seluar pendek bagi lelaki dsbg)? Maka ingin saya lontarkan persoalan berikut: Bagaimana pula dengan berita? Dokumentari? Iklan? Perlawanan bola sepak? dll. Justeru, Sekali lagi, saya tidak ingin meyentuh tentang isu-isu tersebut. Silakan anda bertanya dengan orang yang lebih faqih. Di sini, saya hanya memberikan sedikit pencerahan dan guide line untuk memilih filem/drama yang bagus dan bermutu.

InsyaAllah, minggu-minggu mendatang saya akan cuba review/ulas beberapa buah filem dari barat & timur yang cukup bagus untuk ditonton yang saya ketegorikan sebagai “bersih”. Antaranya, dokumentari “Earth”, filem “Dead Poets Society”, “Laskar Pelangi”, “I Not Stupid”, “I Not Stupid Too”, “Homerun”, “The kite Runner”, “The King’s Speech” dan beberapa lagi.

Filem tempatan ketandusan idea

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, filem/drama tempatan kita terlalu klise. Tema yang sama diulang putar samada cerita CINTA, SERAM & KOMEDI ataupun gabungan antara salah satu tema tersebut. Semuanya bertujuan untuk hiburan. Di sini, saya boleh setuju dengan pendapat mereka yang mengharamkan filem/drama seumpama ini. Kita ambil contoh filem/drama CINTA umpamanya. Bagi saya langsung tiada manfaat apabila CINTA digambarkan atau “ditakrifkan” perlu keluar berdating, berpegang tangan, sering menelefon bertanya kabar, berSMS, hantar bunga dan sebagainya. Sesetengah filem/drama pula ada yang menyelitkan unsur-unsur gejala sosial (clubbing, minum arak, adengan panas, drift, merempit dsbg).

Persoalannya, untuk apa “ditonjolkan” gejala-gejala sosial di dalam filem/drama tersebut? Yang lucunya, alasan penerbit/pengarah filem ialah untuk melahirkan rasa “keinsafan” atau “kesedaran” dikalangan masyarakat. Aduh! Mentaliti apa seperti ini? Adakah dengan memaparkan adengan-adengan sebegitu, masyarakat boleh insaf dan sedar? Sedangkan, statistik setiap tahun menunjukkan peningkatan kadar masalah sosial dan jenayah yang semakin membarah! Jadi, dimana “kesedaran” nya?.

Alasan yang sama digunapakai apabila filem/drama seram ditayangkan. Untuk melahirkan rasa “keinsafan & kesedaran”. Sekali lagi saya ingin bertanya, di mana “keinsafan” nya? Yang saya nampak, masyarakat semakin takut dan percaya kepada HANTU, bomoh, dan perkara tahyul-mahyul. Jadilah kita masyarakat yang jumud, beku minda dan percaya kepada perkara khurafat dan sebagainya. Dunia semakin maju dan berkembang tetapi kita masih ditakuk lama bahkan kembali mundur. Ketika masyarakat dunia berbicara tentang teknologi, masyarakat kita berbicara tentang zombie kampung pisang!

Cerita komedi juga 2x5.Tidak banyak manfaat yang dapat diambil. Bahkan terkadang boleh membawa kepada perkara negatif. Contohnya seperti gelar-mengelar dengan pelbagai gelaran, penggunaan “trade mark” atau “ayat-ayat jenaka” tertentu, juga “istilah-istilah” tertentu untuk “mengenakan” rakan, “gurauan melampau” yang tidak kena pada tempat dan sebagainya. Ini semua jika tidak dikawal boleh membawa kerosakkan akhak/adab kepada masyarakat. Bukan maksud saya tidak boleh berlawak jenaka. Boleh. Cuma ala kadar. Pertengahan. Tidak terlalu melampau dan tidak terlalu meremehkan.

Filem Islami

Saya akui filem/drama berunsur Islam masih lagi baru dan kecil di negara kita. Namun, trend semasa menunjukkan bahawa masyarkat semakin menerima filem/drama seperti ini. Peningkatan ini mencerminkan bahawa adanya masa depan dan peluang yang cerah untuk filem/drama bergenre seperti ni diangkat ke tahap yang lebih jauh. Seingat saya, filem bergenre Islami ini mula mendapat tempat dan pengaruh setelah munculnya filem Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih dari Indonesia.

Pujian harus diberikan kepada pengarah, penerbit dan penulis filem ini. Mereka membuat “ijtihad” yang saya rasakan cukup “berani” untuk berkecimpung dalam dunia perfileman/drama, ketika mana persepsi masyarakat Islam yang masih “orthodox” atau “konservatif” terhadap dunia perfileman (persepsi umum: Islam mengharamkan filem, filem penuh dengan maksiat, merosakkan, kotor dsbg).


Awal sebelum itu, saya rasa telah ada filem/drama berunsur Islam dari Iran, cuma pengaruhnya tidak sampai ke sini. Apa pun, syabas saya ucapkan! Pun begitu, masih ada ruang yang saya rasakan boleh diperbaiki. Paling tidak mereka telah mencuba dan memulakan langkah. Jika penerbit filem/drama barat berusaha mendoktrinkan fahaman serta menonjolkan “way of life” mereka melalui filem/drama, maka mengapa tidak kita menggunakan wadah yang sama untuk memperlihatkan keindahan Islam, atau menjawab tuduhan dan salah faham barat terhadap Islam melalui filem/drama?

Sungguh, wahana filem/drama lebih mudah untuk membentuk opini dan persepsi masyarakat. Jika tidak, masakan anak-anak muda mudah benar menurut /terpengaruh apa sahaja yang ditonjolkan di dalam filem/drama. Di sini, kita dapat lihat bahawa filem/drama mempunyai pengaruh yang sangat besar dan mampu membentuk cara berfikir masyarakat.

Bagi mereka yang terlalu “syadid” terhadap dunia perfileman ini, saya sarankan agar berlapang dadalah. Ini hanyalah sebahagian dari ruang Ijtihad yang luas dan masih boleh diperdebatkan. Silakan saja jika anda tidak mahu menonton filem/drama atau mengharamkannya langsung. Itu ijtihad anda. Tetapi jangan sampai menuduh atau memperkecilkan hasil ijtihad dan usaha orang lain.

Filem wahana dakwah?

Saya teringat isu terbaru mengenai Bob Lokman yang disentuh “hidayah” Allah. Alhamdulillah, Allah masih membuka ruang untuk beliau kembali mengenali Islam. Apa yang menariknya adalah beliau tidak terus meninggalkan dunia perfileman, tetapi beliau hanya memilih watak-watak “bersih” seperti manjadi datuk, bapa, ustaz, imam, bilal, tok siak dll. Apabila ditanya mengapa beliau tidak meninggalkan dunia perfileman/drama, antara jawapan yang diberikan adalah supaya mudah bagi beliau untuk mendekati dan mendakwahi rakan artis yang lain. Beliau merasakan adanya tanggungjawab yang perlu dipikul. MasyaAllah, semoga Allah memberkati niat dan usaha murni beliau.

Sama seperti Yusuf Islam (Yang dahulunya dikenali sebagai Cat Steven sebelum Islam, antara penyanyi barat yang terkenal). Walaupun selepas memeluk Islam, beliau meninggalkan “kerjaya” nya sebagai penyanyi, namun beliau akhirnya kembali sedar bahawa Islam sama sekali tidak melarang hiburan. Cuma yang menjadi isunya, hiburan yang bagaimana Islam benarkan. Dan Alhamdulillah beliau kembali merakamkan lagu-lagu berunsur Islam, keamanan, dan keadilan yang mendidik bahkan mendapat sambutan masyarakat antarabangsa.

Justeru saya melihat filem/drama sebenarnya mempunyai potensi yang sangat besar sebagai salah satu wahana dakwah untuk menyampaikan mesej Islam. Cuma, masih belum ramai yang berani menerokainya lataran persepsi negetif dan bimbang “terpalit” dengan perkara-perkara yang dilarang dalam agama. Bagi saya, itu bukannya isu. Jika Indonesia dan Iran mampu melakukannya, mengapa tidak kita? Mungkin langkah awal yang boleh diambil adalah dengan membuat filem berusur kemasyarakatan, pendidikan, kekeluargaan, keadilan, dokumentari, sejarah, sains dan sebagainya.

Filem dokumentari dan sejarah umpamanya, terlalu sedikit penerbit/pengarah tempatan yang berani mengetengahkan tema-tema sebegini. Sudah barangkali tentu takut rugi dan tidak mendapat sambutan (sepertimana yang terjadi pada filem Leftenan Adnan, Syukur 21 dll). Mungkin kerana itu filem/drama kita lebih memfokuskan kepada tema CINTA, SERAM, dan KOMEDI. Pungutan sudah tentu mencecah jutaan ringgit. Amat jarang (hampir tiada lansung) filem/drama yang membangun peradaban dan membentuk minda yang intelektual. Yang banyak hanyalah filem/drama picisan yang kontang nilai murni dan moral apatah nilai Islam. Apa sangat yang boleh diharapakan dan diperoleh menerusi filem-filem seperti Mami Jarum, Anak Mami, Senario Lagi, Lagi-lagi Senario, KL Drift, Anak Halal, dan Ngangkung (Sekadar menyebut beberapa nama) ?

Cabaran, rintangan & hala tuju filem Islami

Oleh itu, saya mengharapkan akan muncul lebih ramai lagi penerbit, pengarah dan penulis skrip yang berani tampil kehadapan untuk mengetengahkan filem-filem yang bergenere Islam. Tidak perlu mengubahnya sekaligus, ubahlah secara bertahap jka tidak mampu. Jika merasakan masih lagi berat untuk menghasilkan karya seperti ini, mulakan dahulu dengan filem/drama yang bertemakan kemasyarakan, kekeluargaan, pendidikan dan sebagainya (Contoh seperti filem Laskar Pelangi, I Not Stupid (Singapura), dll).

Bagi para penonton pula, saya sarankan agar lebih bijak memilih filem/drama yang boleh mendidik minda. Cuba-cubalah ubah mentaliti kita yang telalu suka filem/drama yang “ketawa berdekah-dekah” atau “ menangis teresak-esak” atau “meremang bulu roma”. Sekali lagi, dunia bertambah maju dan bergerak kehadapan, adakah kita masih lagi di takuk lama dibuai tarian & nyanyian filem Hindustan atau Puaka itu-ini juga jenaka poyo yang tiada nilai? Tepuk dada, tanyalah iman!

1 comment:

  1. Our view is still economic and entertainment oriented...

    ReplyDelete