Saturday, March 12, 2011

*[Arkib]: People, Places & Things (1)

*Artiekl ulangan siar. Artikel asal telah disiarkan di laman web futuwwah eterprise (http://www.futuwwah.com)

Scene 1: “Halal, Haram & Halam”

Tempat: Kedai Mamak Rajooo Maju!

Masa: 11.30 pagi

Situasi: Kedai penuh sesak. Ramai pengunjung yang beruniform sedondon. Masing-masing menunggu pesanan yang diorder. Kelihatan 3 orang lelaki berusia penghujung 50-an (lengkap berbaju Melayu, warna kuning emas dan bersampin. Seorang bersongkok, seorang berserban dan seorang berketayap) sedang melepak dan berborak sementara menunggu pesanan minuman sambil mengipas-ngipas badan mereka. Ketiga-tiga mereka baru sahaja selesai menyertai perarakan Maal Hijrah peringkat Kampung Pening Kepala sejauh 3 km. Kelihatan satu sepanduk besar tersandar di tepi meja mereka yang tertera slogan “Salam Ma’al Hijrah 2011: Hijrah Memangkin Pembangunan Ummat” (Mereka bertugas membawa sepanduk itu di barisan hadapan perarakan. Lebai Pencen dan Siak Kampung masing-masing memegang sepanduk manakala Imam Veteran menjadi “tekong” mengalunkan selawat melalui pembesar suara yang diikuiti oleh peserta perarakan)

Lebai Pencen: “Fuh!, panas betul hari ni. Melencun aku dibuatnya”.

Siak Kampung: “Alaa, dunia akhir zaman la katakan. Apa nak heran. Tu baru panas dunia!” (Sampuk si Siak. Dikibas-kibas songkok yang dipakainya dengan laju ke muka. Nak hilangkan peluh)

Imam Veteran: “Ha’ ah. Panas betul 2 tiga hari ni. Nak turun bala ke apa?”. (Tambah Imam Veteran sambil menyalakan sebatang rokok “MuBorrow” sambil meng ‘offer’ Siak Kampung dan Lebai Pencen. Lebai & Siak Kampung pantas mencapai kotak rokok yang dihulur Imam Veteran. Di kotak rokok tertera Cop “Made in Dot Dot Dot” dan juga nasihat “Merokok Membahayakan Kesihatan”. Juga tertera gambar paru-paru rosak akibat merokok)

Siak Kampung: “Ramai jugak yang ikut berarak kali ni ya. Bertambah sekali ganda dari tahun lepas. Aku rasa kita kena tempah uniform baru. Yang tahun lepas dah lusuh. Lagipun, tahun ni ramai yang belum ada uniform lagi. Tak seragam pulak aku tengok perarakan kita tadi”

Lebai Pencen: “Betul tu. Saya setuju. Bab ni tak payah risau. Isteri saya boleh tolong jahitkan. Isteri saya kan tukang jahit kampung ni (Sahut Lebai pencen dengan wajah yang penuh ceria. Dalam hatinya terbayang untung besar yang bakal diperoleh). “Tapi yang tak bestnya, semua sebaya kita. Budak-budak muda haram tak nampak muka!” (Ngomel Si Lebai Pencen sambil menghembus laju asap rokok berkepul-kepul melalui hidung. Sesekali dia terbatuk kecil. Mungkin memikirkan keuntungan yang dia bakal dapat akan lebih banyak jika budak-budak muda turut serta menempah uniform Maal Hijrah pada isterinya)

Siak Kampung: “Usahkan budak muda. Budak skolah rendah pun tak Nampak!. Apa la nak jadi budak-budak zaman sekarang. Ke surau apatah lagi. Boleh dibilang. Yang datang ke surau pulak, bukannya reti nak duduk diam. Kesana-sini berlari memekak. Dah macam sarkas surau kita tu” (Siak Kampung menambah rencah cerita)

Imam Veteran: “Ha’ah, betul tu”. (Diam seketika sambil memikirkan sesuatu). Aku ingat nak upah Sarip Tukang Kayu (bukan nama sebenar) buat “sign board” budak-budak yang belum berkhatan duduk di saf belakang. Sign board lama kita tu dah uzur. Lagipun, tulisan kecik sangat. Orang tak Nampak. Tu, sign board yang lama tu, jahanam sebab budak-budak ni la jugak. Kali ni kita buat besar-besar. Guna kayu jati. Biar si Sarip pahat kemas-kemas. Mahal sikit pun takpa, asal tahan lama”

(Serentak Siak Kampung & Lebai Pencen mengangguk-angguk setuju)

Siak Kampung: “Eh, Kuliah Magbrib malam ni jadi tak Pak Imam? Ustaz Xv ada maklum apa-apa tak?. Saya cukup suka dengar ceramah Ustaz ni. Minggu lepas kuliah dia fasal “Halal, Haram & Halam Dalam Islam” cukup bagus. Banyak dia sentuh fasal benda-benda haram dalam makanan yang kita tak sedar”.

Imam Veteran: “Jadi, jadi. Dia dah telepon bagitau aku tadi”. (Jawab Imam Veteran sambil berkepul-kepul asap rokok dihembusnya dari mulut). Ustaz Xv tu, kawan aku masa mengaji dulu. Kami sama-sama duduk satu rumah masa kat Madinah dulu. Bab hukum-hakam ni dia memang cukup terer. Aku yang mintak dia bagi kuliah fasal halal-haram ni sebab aku tengok orang kita main telan je apa yang kilang buat. Entah halal entah tidak. Cop “JAKUN- JAbatan Kemajuan Ugama Negera” pun belum tentu boleh percaya. Dah banyak dah keluar cerita dalam surat khabar CO$TMO$T”

Lebai Pencen: “Saya kalau bab makanan ni cukup jaga. Kembang tengkuk saya bila baca CO$TMO$T haritu. Heeei, geli geleman saya!” (Tambah Lebai Pencen. Sambil mengambil sebatang lagi rokok. Bosan barangkali menunggu pesanan air yang belum dihantar)

Imam Veteran: “Malam ni aku mintak Ustaz Xv bagi ceramah fasal “Hijrah” bior orang kampong kita terbuka sikit. Hijrah dari benda yang tak elok kepada yang elok.

(Ketiga-tiga mereka meneruskan perbualan hingga minuman dihantar. Selesai minum, mereka beredar. Petang nanti mereka nak ke suaru awal. Nak prepare apa yang patut untuk ceramah malam nanti)

Scene 2: “Lihatlah Dunia!!!”

Tempat: Arena All Moon, Genting Haitland

Masa: 7.15 malam

Situasi: Kelihatan ramai artis-artis tersohor tanah air datang. Dengan pelbagai jenis corak pakaian. Bersanggul, bebunga, renda-renda, dll. Masing-masing sibuk mencari tempat duduk mereka. Kelihatan juga para wartawan sibuk mengambil gambar dan menemuramah artis-artis yang datang. Soalan-soalan panas dan gosip-gosip kedengaran sana-sini. Tepat jam 8 Acara dimulakan dengan pembukaan acara “Tarian & Nyanyian 1Dunia”. Setelah semua anugerah diberikan, kini tiba kepada anugerah kemuncak yang paling berprestij iaitu anugerah “Bulan Popular Berita Hairan”.

Pengacara 1 (Lelaki): “Dengan ini diumumkan....jeng, jeng, jeng.......”

Pengacara 2 (Perempuan): “Huh., siapa agaknya yang layak menggondol gelaran “Bulan Popular Berita Hairan” ya...” (Sampuk pengacara wanita)

(Keadaan mendebarkan. Hadirin cemas. Drum berbunyi. Kelihatan pengacara 1 & 2 sama-sama membuka sampul surat nama pemenang. Kedua-duanya kelihatan tersenyum)

Pengacara 1 & 2: “Anugerah Bulan popular Berita Hairan” pada tahun ini jatuh kepada (Kedua-dua pengacara menyebut serentak sambil menjerit), Kaaaaak Liiiimaaaah.....!!! (Bukan Nama Sebenar).

(Penonton berdiri dan menepuk tangan. Menjerit-jerit. Ada juga yang bersiut-siut. Kelihatan Kak Limah tersenyum sengih berdiri sambil melambai-lambai kepada hadirin. Dia berjalan keluar dan bersalam-salam serta berpelukan dengan rakan artis yang lain. Mukanya penuh ceria. Dengan Make up tebalnya, mulut yang dimerahkannya, dan matanya yang di ‘eye shadow’ kan sekali imbas tak ubah seperti mata burung hantu. Dia memakai blaus Merah ketat yang berlabuci Lip-lap Lip-lap. Pakaiannya seperti tak cukup kain. Terdedah sana-sini, tersembul sana sini. Rambutnya disanggulkan umpama bonggol unta)

Pengacara 2: “Tahniah diucapkan kepada Kak Limah. Diminta Kak Limah naik ke atas pentas untuk mengambil trofi dan memberi ucapan” (Tepukan gemuruh masih belum berhenti)

(Kak Limah menaiki anak tangga untuk ke pentas sambil diringi pengarah Filem lakonannya. Kain terbelah yang dipakainya terselak kesana-sini. Sesekali Kak Limah berhenti sambil menoleh melambai-lambai pada hadirin. Setiap kali Kak Limah melambai, hadirin menjerti-jerit hysteria. Tak kurang pula yang bersiut-siut. Dari atas pentas, kelihatan banyak banner yang dibawa oleh penyokog Kak Limah, antaranya “ We Lo©e Kak Limah” , “Vote for Kak Limah”, ‘Kak Limah rock!” dll)

Kak Limah: “Assalamualaikum. Alhamdulillah, Syukur kepada Allah di atas kemenangan ini. Akak sebenarnya tidak menjangkakan yang Akak boleh menang. Sebab ramai lagi rakan-rakan artis yang hebat” (Dalam hatinya mejerit: Lihatlah Dunia!!!)

(Kak Limah berucap dengan hidung kembang kempis sambil menjeling ke arah seterunya, Joyah Pop [Bukan Nama Sebenar]. Dalam hatinya berbisik: Aku dah agak dah, bole menang punya]). Sementara itu, di tempat duduk artis, kelihatan Joyah Pop memuncungkan bibirnya yang sedia muncung itu).

Kak Limah: “Di sini Akak ingin mengucapkan bla bla bla.................................. (Ucapan panjang lebar). “Akhir sekali Akak Nak ucapkan jutaan terima kasih kepada peminat yang menyokong Akak selama ini. Sesungguhnya kemenangan ini juga adalah kemenangan anda semua”. (Ucap Kak Limah dengan bersemangat. Kelihatan air liurnya sedikit tersembur dari mulutnya yang dimerahkan). “Buat yang belum menonton filem lakonan Akak, cepat-cepat pergi tonton ya! Jangan lupa tau!

(Jerit Kak Limah separuh manja. Filem lakonanya yang bertajuk “Ibu Halal” meletup di pasaran dan mencatatkan kutipan tertinggi)

Kak Limah: “Oh, ya. Terlupa pulak Akak, tahun depan jangan lupa vote Akak lagi!.Bye! I Love you! Muah!”

(Kak Limah menyudahkan ucapannya dengan leggokkan manja dan “flying kiss” buat para hadirin. Sekali lagi hadirin melalak hysteria, besiut-siut. Sementara itu, Joyah Pop menunjukkan muka tidak puas hati. Dia mengetam bibir. Dalam hatinya dia berkata: Jaga Kau Limah. Kita tegok sape yang dapat tahun depan!. Juga kelihatan penyokong Joyah Pop menangis-nangis dan ada yang “memboo” Kak Limah. Tak kurang pula yang keluar dewan kerana protes dan hampa. Kak Limah berjalan turun ke belakang pentas. Dia tersenyum puas. Di mula berkira-kira mahu megadakan sedikit kenduri kesyukuran bagi meraikan kemenangnannya, Dia bercadang mahu jemput Imam Veteran menbaca doa selamat nanti. Ya sudah pasti!)

-The End-

[Pembaca yang budiman, kisah di atas hanyalah sekadar cerita. Sebahagiannya benar dan sebahagian yang lain hanyalah rekaan semata-mata. Kita dapat berjumpa situasi yang seakan-akan sama seperti kisah di atas di dalam kehidupan reality masyarakat kita. Bukanllah niat saya untuk memburukkan mana-mana pihak. Tidak sama sekali. Kesemua watak dalam kisah diatas adalah rekaan sahaja. Saya karang kisah di atas sekadar untuk kita mengambil pengajaran. Apa yang buruk minta dihindarkan dan apa yang baik kita sama-sama lakukan. Saya harap tiada salah faham terhadap kisah di atas. Jika ada sebarang komen, pembetulan boleh diajukan pada saya. InsyaAllah saya terbuka menerimanya]

No comments:

Post a Comment