Sunday, March 20, 2011

[Arkib]: Chasing After the Wind


“Zaman kanak-kanak,

kita merasa dengan kaki dan tangan.

Sampai luka-luka bila tersandung dan jatuh.

Kini bila sudah remaja,

kita merasa dengan akal dan hati pula.

Sering luka-luka juga kalau tersungkur dalam perjalanan.

Kelak kalau dewasa bagaimana pula?” [1]

Sesekali terasa rindu bila di zaman kanak-kanak. Masa seolah-olah terhenti berputar. Hidup penuh dengan tawa dan suka. Tiada masalah dan tanggungjawab. Semuanya riang.

Berpesta hujan keliling kampung...

Menjerat burung...

Menimba ikan...

Berkubang di tali air...

Meredah hutan & belukar...

Berpalit lumpur di sawah padi...

Mengejar pelangi petang...

dan 1001 lagi advancer...

Ya! Ketika kita di zaman kanak-kanak, semuanya terasa amat indah. Umpama di syurgawi. Tiada masalah yang perlu difikir. Tiada beban dan tanggungjawab. Kepala tidak pening-pening. Hanya berseronok bersama teman dan taulan. Hari ini, esok dan lusa, sama sahaja. Tak pernah jemu menjerat burung. Atau meredah belukar. Juga berpesta hujan. Kalau lapar, pulang saja ke rumah. Paling tidak, pisang goreng, atau cokodok, juga ubi rebus sedia ternanti. Kalau dahaga, sirap merah jadi santapan. Atau, teh sejuk jadi hidangan. Selalu bila pulang, tangan dan kaki habis calar-calar. Habis luka-luka. Puas emak berleter. Kebas tangan abah menggenggam rotan. Esok hari buat lagi. Masih belum serik-serik. Kalau hari ini bergaduh, esok lusa sama bersimpuh di kenduri-kendara. Segala-galanya begitu indah. Kalau boleh, mahu jadi kanak-kanak selalu. Ibu-ayah tempat bergantung. Atuk-nenek tempat bermanja. Suadara-mara jadi penghibur. Yang pahit-pahit jadi manis. Yang manis bertambah manis. Itu cerita dulu-dulu. Cerita di zaman kanak-kanak. Kini, apa yang tinggal, hanya memori. Childhood memories...

Sekarang, kita di zaman Remaja. Tanggungjawab bertambah. Beban kian menggunung. Kepala selalu pusing-pusing. Selalu pening-pening. Banyak perkara perlu difikir. Tidak sedikit hal perlu diselesai. Bukan kecil masalah perlu dirungkai. Selesai satu, timbul satu. Lepas satu, muncul satu. Hilang satu, datang satu. Kadang datang bertalu-talu. Tawa dan suka sudah jarang-jarang. Masa terasa pantas. Pejam celik-pejam celik sudah seminggu. Celik lagi sudah sebulan. Kalau dulu-dulu di zaman kanak-kanak, kita merasa dengan kaki dan tangan. Selalu luka-luka. Kini bila remaja kita merasa dengan hati dan akal pula. Selalu luka-luka juga kalau tersungkur dalam perjalanan. Tak sedikit yang tersasar jalan. Banyak pula yang kecundang. Ramai juga yang tewas. Hati selalu resah. Selalu gelisah. Bagaimana nasib badan. Bagaimana masa depan. Hari ini adalah hari ini. Esok adalah esok. Lusa adalah lusa. Kelak, kalau dewasa, bagaimana pula?

Sahabat,

Jangan pernah berhenti bermimpi..

Bermimipilah...

Kerana Tuhan akan memeluk mimpi-mimpimu itu..[2]

Tanpa mimpi, orang seperti kita mati..[3]

Mimpi hari ini, kan jadi kenyataan hari esok..

Tuhan tahu, tapi menunggu...[4]

Teman,

Jangan pernah berhenti berlari...

Berlarilah...

Umpama mengejar angin...

Kita tidak dapat melihatnya..

Tapi ia ada di sana...

Tuhan tahu, tapi menunggu..

“Hidup dan nasib, boleh kelihatan tidak teratur, misteri, hebat dan sporadik, namun, setiap elemennya adalah subsistem keteraturan dari sebuah reka bentuk holistik yang sempurna. Menerima kehidupan bererti menerima kenyataan bahawa tidak ada hal sekecil apa pun yang terjadi kerana secara kebetulan. Ini adalah fakta penciptaan yang tidak dapat disangkal”[5]


Sumber:

[1] Isa Kamari, Memeluk Gerhana

[2] Andrea Hirata, Edensor

[3] Andrea Hirata, Sang Pemimpi

[4] Leo Tolstoy

[5] Andrea Hirata, Edensor

No comments:

Post a Comment